Perlembagaan

1. Keahlian

Keterangan 1.1
MBJ bagi POLIMAS (selepas ini disebut sebagai ‘Majlis’) hendaklah mengandungi Lima Belas (15) orang ahli secara keseluruhannya termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri daripada Pengarah selaku Pengerusi dan tiga (3) orang ahli yang dilantik oleh Pengarah (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pegawai’) dan sebelas (11) orang ahli yang dipilih oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di POLIMAS (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pekerja’).

2. Pihak Pegawai

Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai yang berkhidmat di POLIMAS seperti berikut:

i) Pengarah - Pengerusi
ii) Timbalan Pengarah (Akademik) - Ahli
iii) Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) - Ahli
iv) Pegawai Eksekutif Tertinggi - Setiausaha

Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai ini hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing dan tiada had tempoh memegang jawatan di dalam Majlis.

3. Pihak Pekerja

Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja di, POLIMAS Gred 48 dan ke bawah, tidak terlibat dalam membuat keputusan, bukan merupakan Ketua Bahagian/ Unit dan dipilih oleh pekerja-pekerja itu sendiri. Peraturan bagi pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang akan disediakan buat permulaan oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja dalam POLIMAS dan diluluskan oleh Pengarah. Ahli-ahli Pihak Pekerja adalah seperti Jadual 1.
Pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Pihak Pekerja adalah dibuat dari kalangan ahli-ahli Pihak Pekerja yang dipilih dan pemilihan itu hendaklah dibuat oleh Pihak Pekerja sendiri tanpa campur tangan dari Pihak Pengurusan. Pengerusi Pihak Pekerja akan menjadi Naib Pengerusi kepada MBJ manakala Setiausaha Pihak Pekerja akan menjadi Setiausaha Bersama.
Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada Jabatan atau Gred atau Skim Perkhidmatan yang memilih pekerja-pekerja itu sendiri.
Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/ dipilih.
Jadual 1
Bil.
Kumpulan Pihak Pekerja
Jumlah
1
Wakil Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 48
1 orang
2
Wakil Jabatan Kejuruteraan Awam
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 48
1 orang
3
Wakil Jabatan Kejuruteraan Elektrikal
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 48
1 orang
4
Wakil Jabatan Perdagangan
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 48
1 orang
5
Wakil Jabatan Pengajian Am
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 44
1 orang
6
Wakil Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 41
1 orang
7
Wakil Jabatan Matematik, Sains dan Komputer
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH 44
1 orang
8
Wakil Pekerja (Sokongan Akedemik) Gred 41 - 44
1 orang
9
Wakil Pekerja (Sokongan Akedemik) Gred 29-40
1 orang
10
Wakil Pekerja (Sokongan Akedemik) Gred 19-28
1 orang
11
Wakil Pekerja (Sokongan Akedemik) Gred 1-14
1 orang

4. Pegawai-Pegawai Majlis

Keterangan 4.1
Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada ahli yang dipilih dan menjadi Pengerusi ahli Pihak Pekerja. Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja menjadi Setiausaha Bersama bagi Majlis.

5. Tujuan

Keterangan 5.1
Tujuan Majlis adalah:

a. Untuk memperolehi seluas-luas kerjasama yang menyeluruh di antara POLIMAS dengan pegawai-pegawai yang bergaji di dalam POLIMAS dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja yang berkenaan; dan

b. Untuk mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja dan amnya untuk mengumpul pelbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi POLIMAS.

6. Bidang dan Fungsi

Keterangan 6.1
Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasa Majlis seperti berikut:

a. Membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali perkara-perkara yang melibatkan dasar Kerajaan dan hal-hal perseorangan;

b. Membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan;

c. Menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran pelbagai jabatan; dan

d. Mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi POLIMAS serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.

7. Mesyuarat-Mesyuarat

Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan sekali dalam tempoh empat (4) bulan, iaitu tiga (3) kali setahun.
Korum bagi mesyuarat Majlis hendaklah tidak kurang daripada 75% tiga (3) orang ahli Pihak Pegawai dan 50% enam (6) orang ahli Pihak Pekerja.
Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-Setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda, hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi Majlis.
Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi bila dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh Pegawai-pegawai Majlis. Perkara-perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis panggilan mesyuarat berkenaan.
Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis, maka ahli Pihak Pegawai terkanan boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis dengan kebenaran daripada Pengerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, Naib Pengerusi iaitu Pengerusi Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis.
Minit Mesyuarat MBJ hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja.

8. Keputusan

Segala keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan bersama di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja.
Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan-jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan, bolehlah diselenggarakan atau dilaksanakan terus oleh POLIMAS. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun dengan Jabatan-jabatan lain ianya hendaklah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam ataupun jabatan-jabatan yang berkenaan.

9. Pindaan Kepada Perlembagaan

Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana mesyuarat Majlis dengan persetujuan tidak kurang daripada 50% ahli Pihak Pegawai dan 50% ahli Pihak Pekerja. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.
Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai penggubal dasar boleh menetapkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dan pertentangan di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja mengenai penggubalan dan pindaan perlembagaan. Segala keputusan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam adalah muktamad selari dengan kuasa yang diperuntukan dalam mana-mana Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan sedia ada yang sedang berkuat kuasa.
Image