SEKAPUR SIRIH

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Pertama-tamanya saya mewakili barisan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Pihak Pekerja mengucapkan terima kasih kepada semua warga Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) yang telah memilih kami selaku wakil yang akan bersama-sama Pihak Pegawai dalam menyelesaikan isu-isu pekerja dan membincangkan cadangan penambahbaikan aspek pengurusan dan hubungan majikan-pekerja bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih efektif dan cekap.

Dalam kemodenan arus Revolusi Perindustrian 4.0 ini, ledakan teknologi mampu membantu kita untuk bekerja dengan lebih efisien. Dengan adanya laman sesawang MBJ ini, ianya dapat dijadikan sebagai platform utama untuk warga POLIMAS menyampaikan wardah dan pandangan yang akan dibawa oleh Pihak Pekerja untuk dibincangkan bersama Pihak Pegawai. Justeru, adalah wajar platform ini diwujudkan bagi mengeratkan hubungan majikan-pekerja yang seterusnya dapat mengurangkan masalah komunikasi yang timbul ketika menyelesaikan sesuatu isu.

Sehubungan itu, saya menyeru agar platform ini dimanfaatkan dan digunakan sebaik mungkin di mana setiap warga bersama-sama menyuarakan pendapat serta idea yang kreatif dan inovatif di Sistem Usul MBJ bagi memastikan setiap objektif kerja dapat dicapai dan produktiviti dapat ditingkatkan dengan jayanya. Semoga segala usaha kita dalam memartabatkan perkhidmatan dan penyampaian POLIMAS akan diberkati Allah SWT.

Sekian Terima Kasih

Pengerusi Pihak Pekerja, MBJ POLIMAS

Dr. Azli Bin Muhammad

MENGENAI MBJ

  • FAQ
    Apa itu MBJ
    MBJ merupakan sebuah medium dua hala iaitu Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pegawai dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
  • FAQ
    Penubuhan MBJ
    Semua agensi Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan serta mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan MBJ. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh Pihak Pengawai dan Pihak Pekerja perlu digubal terlebih dahulu dan hendaklah dikemukakan kepada JPA untuk kelulusan.
  • FAQ
    Bidang & Fungsi
    Skop, bidang dan fungsi MBJ lebih menitikberatkan kepada kepentingan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. Di samping bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh Pihak Pekerja, ia juga boleh dijadikan sebagai satu forum perbincangan di antara Pihak Pegawai dan Pekerja. MBJ yang aktif secara tidak langsung akan dapat menyemai semangat bekerja di kalangan pekerja untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi dan produktif.
  • FAQ
    Perkara yang boleh dibincangkan
    Perkara yang boleh dibincang adalah meliputi semua perkara yang berkaitan dengan keadaan bekerja kecuali yang menyentuh dasar kerajaan atau hal-hal peribadi. Walau bagaimanapun, isu berkaitan dasar boleh dibincangkan dengan tujuan menerangkan pelaksanaanya sahaja. Antara perkara-perkara yang boleh dibincangkan di dalam forum meliputi isu elaun dan kemudahan, kewangan, perkhidmatan, skim perkhidmatan dan perjawatan, kebajikan, pentadbiran dan hal-hal lain.
  • FAQ
    Faedah MBJ
    Di antara faedah yang boleh didapati daripada mesyuarat MBJ ialah dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja, kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, kemajuan pekerja, sikap hormat menghormati, penyelesaian masalah, kesetiaan kepada organisasi, dan perpaduan.
  • SILA PANJANGKAN

    USUL ANDA

--> -->