Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Pertama-tamanya saya mewakili barisan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Pihak Pekerja mengucapkan terima kasih kepada semua warga Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) yang telah memilih kami selaku wakil yang akan bersama-sama Pihak Pegawai dalam menyelesaikan isu-isu pekerja dan membincangkan cadangan penambahbaikan aspek pengurusan dan hubungan majikan-pekerja bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih efektif dan cekap.
Dalam kemodenan arus Revolusi Perindustrian 4.0 ini, ledakan teknologi mampu membantu kita untuk bekerja dengan lebih efisien. Dengan adanya laman sesawang MBJ ini, ianya dapat dijadikan sebagai platform utama untuk warga POLIMAS menyampaikan wardah dan pandangan yang akan dibawa oleh Pihak Pekerja untuk dibincangkan bersama Pihak Pegawai. Justeru, adalah wajar platform ini diwujudkan bagi mengeratkan hubungan majikan-pekerja yang seterusnya dapat mengurangkan masalah komunikasi yang timbul ketika menyelesaikan sesuatu isu.
Sehubungan itu, saya menyeru agar platform ini dimanfaatkan dan digunakan sebaik mungkin di mana setiap warga bersama-sama menyuarakan pendapat serta idea yang kreatif dan inovatif di Sistem Usul MBJ bagi memastikan setiap objektif kerja dapat dicapai dan produktiviti dapat ditingkatkan dengan jayanya. Semoga segala usaha kita dalam memartabatkan perkhidmatan dan penyampaian POLIMAS akan diberkati Allah SWT.
Sekian Terima Kasih
Pengerusi Pihak Pekerja, MBJ POLIMAS
Dr. Azli Bin Muhammad